Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Malaysia akan berbincang dengan Kesatuan Eropah (EU) dan negara lain membabitkan pengiktirafan semua jenis vaksin yang mendapat kebenaran penggunaan kecemasan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bagi mendapatkan pasport vaksin.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata, agak sukar jika hanya vaksin tertentu yang mendapat kelulusan bersyarat di EU atau mana-mana negara diiktiraf bagi membolehkan individu yang sudah menerima pelalian mendapat pasport vaksin.

"Sekurang-kurangnya jika vaksin itu sudah mendapat kebenaran kecemasan daripada WHO, negara-negara lain sepatutnya boleh mengiktirafnya.

"Kita merasakan semua vaksin (dalam portfolio) kita akan mendapat kebenaran daripada WHO.

"Namun, kita akan berbincang dengan EU dan negara lain mengenai isu pasport vaksin ini," katanya pada sidang media mingguan Pasukan Bertindak Imunisasi COVID-19, tadi.

Khairy berkata demikian ketika ditanya mengenai kebimbangan sesetengah pihak bahawa mereka berkemungkinan tidak mendapat pasport vaksin untuk ke negara EU berikutan hanya dua jenis vaksin dalam portfolio vaksin Malaysia ketika ini iaitu keluaran Pfizer - BioNTech serta AstraZeneca mendapat kelulusan di kesatuan itu.

Pelalian melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) tidak membenarkan penduduk di negara ini memilih jenis vaksin yang mereka mahukan, sebaliknya ia ditentukan oleh kerajaan.

Beliau berkata, ketika ini, satu lagi vaksin, Sputnik V keluaran Rusia sedang dalam penilaian oleh Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA).

Katanya, beliau berpendapat ia juga akan didaftarkan oleh EMA.

Selain Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca, dua lagi vaksin yang sudah mendapat kelulusan EMA adalah Moderna dan Johnson&Johnson.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan, cadangan untuk memperkenalkan pasport vaksin bagi memudahkan pergerakan tanpa batas dalam kesatuan itu hanya sah untuk pelalian menggunakan vaksin yang diluluskan oleh EMA.

Ia berikutan, pelalian menggunakan vaksin keluaran syarikat yang tidak mendapat kelulusan tidak akan dilindungi oleh klausa liabiliti EU serta kawalan kualitinya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 7:17 PM