DUA beradik OKU lembam, Rizal Afandi Yusof, (kiri) dan abangnya, Shaharudin Yusof, (duduk) ketika ditemui NGO, Pengerusi Al-Baasith, Khairul Nizam Khairuddin (berdiri, kanan) bersama NGO MyfaundAction di rumahnya di Kampung Kabong, Inas, Johol, Kuala Pilah. FOTO Mohd Khidir Zakaria
DUA beradik OKU lembam, Rizal Afandi Yusof, (kiri) dan abangnya, Shaharudin Yusof, (duduk) ketika ditemui NGO, Pengerusi Al-Baasith, Khairul Nizam Khairuddin (berdiri, kanan) bersama NGO MyfaundAction di rumahnya di Kampung Kabong, Inas, Johol, Kuala Pilah. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

Kuala Pilah: "Ada petai, adalah duit. Kalau tidak saya dan abang makan apa yang ada," ujar Rizal Afandi Yusof, 48, yang hanya bergantung usaha abangnya, Shaharudin Yusof, 54, mencari petai untuk dijual kepada peraih ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kabong, Inas, Johol di sini.

Dua beradik kategori Orang Kurang Upaya (OKU) lembam itu hanya bergantung antara satu sama lain dan hidup serba kekurangan.

Rizal Afandi Yusof, 48, hanya bergantung usaha abangnya, Shaharudin, mencari petai bagi menampung belanja harian manakala dia pula ditugaskan memasak juadah harian.

Menurut Rizal, mereka tidak mendapat bantuan daripada mana-mana pihak disebabkan tidak memiliki kad OKU.

"Saya hanya masak dan abang yang keluar (ke hutan) cari petai, lepas jual petai, dapatlah duit untuk beli barang makanan (harian). Tapi (tetapi) petai dah kurang sebab abang kata ramai yang turut mencari petai.

"Ada juga orang kampung yang menyumbang makanan selain kakak sulung yang turut membantu kami," katanya jujur ketika ditemui selepas menerima sumbangan daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di rumahnya tadi.

Kakaknya, Hasnah Yusof, 73, berkata, dua adiknya lembam sejak kecil dan rumah yang mereka duduk itu kepunyaan ibu saudara.

"Mereka menumpang sementara menunggu rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang akan dibina di belakang rumah saya ini.

"Saya tidak pasti bila rumah mereka siap sepenuhnya. Saya difahamkan projek rumah PPRT itu sudah lulus pembinaan atas tajaan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah diseliakan Giat MARA," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Al-Baasith, Khairul Nizam Khairuddin berkata, dia sudah menghubungi pihak berwajib bagi mengetahui status pembinaan rumah untuk dua beradik ini.

"Saya diberitahu pembinaan rumah ini sudah lulus. Saya percaya ia akan dibina secepat mungkin untuk keselesaan mereka dua beradik.

"Kunjungan kami hanya menyantuni kedua beradik ini bersama NGO MyfaundAction serta Rebilsa bagi menyampaikan bantuan barangan dapur. Kami juga akan menyumbang katil dan tilam untuk kegunaan mereka dua beradik," katanya.

Katanya, pihak kami berharap agar dua beradik ini mendapat bantuan bulanan daripada pihak berwajib bagi menampung hidup mereka yang serba kekurangan.

"Orang ramai yang bersimpati dan mahu meringankan beban mereka bolehlah terus ke rumah mereka di Kampung Kabong, Inas, Johol atau menghubungi saya untuk mendapatkan maklumat lanjut ditalian 017-632 7478 (Khairul Nizam) kerana mereka tidak memiliki nombor akaun atau telefon bimbit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2020 @ 6:19 PM