NAJMAN (kanan) dan Rahimi menunjukkan petai yang dijual murah berhampiran Taman Kota Jaya, Pulai.
NAJMAN (kanan) dan Rahimi menunjukkan petai yang dijual murah berhampiran Taman Kota Jaya, Pulai.
Mohd Rizal Abdullah dan Safuri Kamaruddin


“SEJAK bulan lalu setiap hari saja jual 50,000 papan. Pernah sehari saya jual hingga 100,000 papan petai kerana permintaan amat menggalakkan,” kata penjual petai Najman Abu Bakar, 30.

Dia bersama saudaranya Rahimi Mat Ramli, 38, membuka gerai menjual petai di bahu jalan di Taman Kota Jaya, Pulai, Baling, di sini, sejak sebulan lalu.

Najman berkata, 500 ikat petai bersamaan 50,000 tangkai dijual pada harga RM25 sehingga RM40 seikat.

“Setiap ikat ada 100 tangkai petai, justeru, harga yang ditawarkan sangat berbaloi malah ada hari tertentu seikat hanya dijual pada harga RM18 saja.

“Bukan saja penduduk tempatan, malah ada yang datang dari Melaka, Pahang, dan Kuala Lumpur untuk membeli petai secara borong,” katanya.

Menurutnya, pada kebiasaannya setiap hari semua petai ditawarkan akan habis dijual pada jam 7 malam.

Katanya, dia turut melakukan promosi menggunakan Facebook (FB) Live untuk menarik lebih ramai pelanggan membeli petai.

“Saya jual dua jenis petai iaitu petai padi dan petai papan. Bekalan diperoleh daripada pengusaha tempatan, tidak kurang diimport dari luar.

“Setakat ini, saya tidak berdepan masalah untuk mendapatkan bekalan kerana sekarang memang musim petai. Musim petai kebiasaannya antara Julai hingga Oktober,” katanya yang sudah berniaga petai sejak dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 5:45 AM