WONG Hon Wai. FOTO arkib NSTP
WONG Hon Wai. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Keputusan kerajaan untuk menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bugaya di Sabah, dipersoalkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Wong Hon Wai (PH - Bukit Bendera) mempersoalkan mengapa pengisytiharan darurat di Dun Bugaya sebelum ini tidak diungkaikan bagi memberi laluan kepada PRK di kawasan itu.

Sambil membandingkannya dengan situasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Wong berkata, perlu ada satu keputusan selari dan konsisten dalam memutuskan sesuatu pilihan raya diadakan agar hak pengundi memilih wakil rakyat tidak dinafikan.

"Saya menanyakan kerana ini juga menafikan hak pengundi Bugaya untuk memilih seorang wakil rakyat dan saya ingin mendapatkan satu penjelasan why is double standard (pilih kasih) yang berbeza? "Kalau pilihan raya negeri Melaka dijalankan, pilihan raya kecil perlu dijalankan, perlu diungkai. Dan sekiranya eksekutif berpendapat atas keterangan-keterangan kesihatan bahawa tidak sesuai diadakan pilihan raya kecil di Bugaya, kenapa pula Melaka dibenarkan?" katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu celahan semasa usul bagi mengungkai ordinan darurat dilakukan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Kerusi Dun Bugaya kosong susulan kematian penyandangnya, Datin Manis Muka Mohd Darah, 65, pada 17 November lalu.

Pada 16 Disember tahun lalu, Perdana Menteri waktu itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat bagi bahagian Pilihan Raya Parlimen Gerik, Perak dan PRK di Bugaya.

Ia sekali gus membatalkan PRK di kedua-dua kerusi itu sebagai langkah membendung pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 11:48 PM