Mayat mangsa ditemui dalam keadaan separuh badannya tiada. FOTO  MELVIN JONI
Mayat mangsa ditemui dalam keadaan separuh badannya tiada. FOTO MELVIN JONI
Oleh Melvin Joni


Samarahan: Mayat Mohammad Razid Hamran, 27, yang dilaporkan hilang ketika keluar mencari siput di Sungai Kampung Meranek di sini, pada Isnin lalu ditemui pagi tadi dalam keadaan separuh badannya tiada.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, mayat mangsa dijumpai pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) jam 10.35 pagi.

Operasi SAR membabitkan anggota bomba dan penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela) dan penduduk kampung.

"Mayat mangsa dijumpai kurang satu kilometer ke hulu sungai dari Kampung Meranek.

"Susulan penemuan itu, operasi SAR yang memasuki hari kedua ditamatkan," katanya pada kenyataan.

Mohammad Razid dilaporkan hilang jam 11 malam Isnin lalu selepas keluar mencari siput di Sungai Kampung Meranek menggunakan bot. Kebiasaannya, dia akan pulang jam 4 petang.

Penduduk kampung kemudiannya mencari mangsa namun hanya menemui botnya yang hanyut berdekatan dengan jambatan laluan utama Samarahan-Meranek.

t

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 1:54 PM