HM Digital

Samarahan: “Malam sebelum kejadian saya sudah berasa tidak sedap hati seperti sesuatu yang buruk akan berlaku dan tidak menyangka ia menjadi kenyataan kerana pagi semalam (kelmarin) kami sekeluarga dikejutkan dengan kejadian yang menimpa datuk,” kata Aloren Lewis Lias, 31.

Wanita itu adalah cucu kepada Benabas Lias Jalal, 77, warga emas yang dilaporkan hilang selepas tergelincir bersama pacuan empat roda dipandunya ketika menaiki feri menyeberangi Sungai Batang Samarahan, jam 7.15 pagi kelmarin.

Menurutnya, datuknya memandu Mitsubishi Storm sendirian dari rumah keluarga di Kuching menuju ke kebun kelapa sawitnya di Asajaya menggunakan feri untuk menyeberangi sungai berkenaan.

“Saya sepatutnya ke Kuala Lumpur untuk berkursus tetapi terpaksa membatalkannya kerana mahu menunggu datuk sehingga ditemui.

“Kami sekeluarga kini masih berdoa agar datuk dapat ditemui segera walaupun sedar peluang untuknya ditemui selamat semakin tipis.

“Sebaik menerima berita mengenai kejadian, kami sekeluarga bergegas ke jeti untuk mengetahui perkembangan pencarian dan akan terus menanti sehingga datuk ditemui,” katanya ketika ditemui di Jeti Muara Tuang di sini, semalam.

ANGGOTA bomba menjalankan operasi pencarian mengesan mangsa yang dikhuatiri hilang di Sungai Batang Samarahan, Kota Samarahan.
ANGGOTA bomba menjalankan operasi pencarian mengesan mangsa yang dikhuatiri hilang di Sungai Batang Samarahan, Kota Samarahan.

Tinjauan NSTP di kawasan jeti berkenaan mendapati anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyambung usaha mencari mangsa sejak jam 6 pagi, selain ahli keluarga dan penduduk kampung.

Ketua Operasi merangkap Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan, Jackson Anyie berkata, fokus utama pencarian kini adalah untuk mencari mangsa yang dipercayai masih terperangkap di dalam kenderaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 6:37 AM