MAT Rusuk Said, 60, (kanan) bersama Che Lah Ismail, 62 , (kiri) dan Mohd Asri Sidik, 53 membaiki bubu sebelum turun ke laut   di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Che Mas, Tumpat, Kelantan.
MAT Rusuk Said, 60, (kanan) bersama Che Lah Ismail, 62 , (kiri) dan Mohd Asri Sidik, 53 membaiki bubu sebelum turun ke laut di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Che Mas, Tumpat, Kelantan.
Oleh Wartawan Harian Metro


Kuala Lumpur: Pengundian meluluskan keseluruhan Belanjawan 2021 dalam persidangan Dewan Rakyat mendapat perhatian pelbagai lapisan rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Belanjawan 2021 berjumlah RM322.5 bilion itu dianggap penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi terus kekal di landasan pemulihan sekali gus memberi kesan positif terhadap kesejahteraan rakyat pelbagai peringkat.

Harian Metro mendapatkan pandangan dan harapan tinggi rakyat terhadap keseluruhan peruntukan berkenaan.

Penjawat awam, Mohd Syafiee Md Hasim, 29, dari Sabah berkata, undi sokongan Ahli Parlimen amat penting bagi menentukan pelaksanaannya demi kesejahteraan rakyat.

Mohd Syafiee berkata, ia antara tanggungjawab ahli Parlimen memastikan setiap negeri termasuk Sabah yang menerima peruntukan dalam menghadapi pandemik wabak Covid-19.

"Sabah sendiri menerima RM5.1 bilion yang dilihat mampu memulihkan ekonomi negeri yang terjejas teruk sepanjang tahun ini.

"Ia adalah peluang memulihkan semula ekonomi di luar bandar seperti pemberian subsidi padi bukit kepada pengusaha padi di seluruh Sabah," katanya.

Nelayan, Mohd Zaki Salleh, 64, berkata, kelulusan itu penting untuk membantu rakyat terutamanya golongan B40.

"Walaupun hanya RM300, tetapi ia bagaikan talian hayat kami golongan nelayan yang hanya bergantung hidup pada sumber laut.

"Sangat besar ertinya buat kami bagi menampung perbelanjaan sehingga musim tengkujuh berakhir Mac tahun depan.

"Setiap kali belanjawan, kami menunggu bantuan untuk nelayan dan syukur Alhamdulillah tahun ini, kerajaan memahami kesusahan rakyat termasuk menambah jumlah Bantuan Prihatin Nasional (BPN)," katanya.

Usahawan automotif, Mohammad Alif A Rahim, 34, dari Pasir Gudang, Johor pula berpandangan belanjawan kali ini adalah menyeluruh.

Katanya, sebagai rakyat dia meminta ahli Parlimen meluluskannya dan harap dipercepatkan penyalurannya untuk meringankan beban rakyat.

"Kelulusan Bantuan Prihatin Rakyat ditunggu kerana golongan B40 dan M40 memang terkesan dan amat memerlukan bantuan segera," katanya.

Bagi pengurus acara, Siti Noorzeehan Yusoff, 33, kelulusan peruntukan kerajaan memang ditunggu-tunggu untuk meneruskan kelangsungan hidup dan pengumuman kenaikan bantuan prihatin sehingga RM1,800 melegakan pihak yang sudah berkeluarga.

Menurutnya, dana kepada peniaga seperti Geran Prihatin RM3,000 memberi peluang memulakan modal perniagaan yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Inisiatif perniagaan lain seperti peruntukan RM95 juta pembiayaan mikro kredit seperti TEKUN, Agro bank dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) juga boleh dimohon peniaga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 10:11 AM