GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Wartawan HM


Kuala Lumpur: Pengundian meluluskan Belanjawan 2021 yang dijadual selepas penggulungan oleh Kementerian Kewangan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini mendapat perhatian pelbagai lapisan rakyat.

Belanjawan 2021 berjumlah RM322.5 bilion itu dianggap penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi terus kekal di landasan pemulihan sekali gus memberi kesan positif terhadap kelancaran perkhidmatan awam, keamanan negara dan kesejahteraan rakyat pelbagai peringkat.

Harian Metro mendapatkan pandangan dan harapan rakyat menjelang pengundian berkenaan.

Bagi usahawan automotif, Mohammad Alif A.Rahim, 34, dari Pasir Gudang, Johor beliau berpandangan belanjawan kali ini adalah menyeluruh.

Katanya, rakyat dia meminta Ahli Parlimen meluluskannya dan harapkan dipercepatkan.

" Terutama kelulusan bantuan Prihatin Rakyat sebab golongan B40 dan M40 memang terkesan dan amat memerlukan bantuan segera. Kita harap belanjawan 2021 ini dipercepatkan dan dipermudahkan," katanya.

Bagi penjawat awam, Mohd Syafiee Md Hasim, 29, dari Sabah undi sokongan Ahli Parlimen penting bagi menentukan pelaksanaannya demi kesejahteraan rakyat.

Mohd Syafiee berkata, ia salah satu tanggungjawab Ahli Parlimen memastikan setiap negeri termasuklah Sabah menerima peruntukan dalam menghadapi pandemik wabak Covid-19.

"Sabah sendiri menerima RM5.1 bilion yang dilihat mampu memulihkan ekonomi negeri yang terjejas teruk sepanjang tahun ini.

"Bukan sahaja ekonomi di bandar malahan peluang untuk memulihkan semula ekonomi di luar bandar seperti pemberian subsidi padi bukit kepada pengusaha padi di seluruh Sabah," katanya.

Nelayan, Mohd Zaki Salleh, 64, berkata kelulusan berkenaan penting untuk membantu rakyat terutamanya golongan B40.

"Walaupun hanya RM300 tetapi ia bagaikan talian hayat kami golongan nelayan yang hanya bergantung hidup pada sumber laut.

"Sangat besar ertinya buat kami bagi menampung perbelanjaan sehingga musim tengkujuh berakhir Mac tahun depan.

" Setiap kali belanjawan, kami menunggu apa bentuk bantuan kepada nelayan dan syukur alhamdulillah tahun ini, kerajaan memahami kesusahan rakyat, termasuk menambah jumlah Bantuan Prihatin Nasional," katanya.

Bagi pengurus acara, Siti Noorzeehan Yusoff, 33, kelulusan peruntukan kerajaan itu amat ditunggu untuk meneruskan kelangsungan hidup dan pengumuman kenaikan bantuan prihatin sehingga RM1,800 melegakan pihak yang sudah berkeluarga.

Menurutnya, dana kepada peniaga seperti Geran Prihatin sebanyak RM3,000 juga memberi peluang kami memulakan modal perniagaan yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Inisiatif perniagaan lain seperti peruntukan RM95 juta pembiayaan mikro kredit seperti TEKUN, Agro bank dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) juga boleh dimohon peniaga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 2:54 PM