Nur Izzati Mohamad


Batu Kawan: Kerajaan Pulau Pinang bersedia duduk semeja dengan kerajaan Kedah untuk mengadakan rundingan berhubung tuntutan caj air mentah dalam usaha menghentikan perang mulut yang berlaku sekali gus menjaga kredibiliti serta imej kedua-dua negeri.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, walaupun perkara itu sudah dijawab beberapa kali namun pintu Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) sentiasa terbuka untuk menyambut kerajaan Kedah bagi mengemukakan tuntutan mereka.

"Selama ini kita tegaskan isu sumber air mentah adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan menteri yang baharu sudah menyatakan salah satu agenda beliau ialah untuk memastikan semua negeri mendapat sumber air mentah yang mencukupi.

"Jadi dalam isu air dari Kedah, pintu Komtar sentiasa terbuka untuk rundingan walaupun tuntutan kerajaan negeri itu sudah beberapa kali dijawab.

"Apatah lagi, rakyat tidak berminat kedua-dua negeri mengadakan perang mulut dalam media dan berharap perbincangan diadakan sekali gus menjaga imej serta tidak memberi gambaran buruk yang boleh menyebabkan rakyat ketawa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu antara kedua-dua negeri itu selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Kilang Pembuatan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) di sini, hari ini.

KON Yeow (kiri) pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Kilang Pembuatan PPE Iconic Medicare, Batu Kawan. FOTO Nur Izzati Mohamad
KON Yeow (kiri) pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Kilang Pembuatan PPE Iconic Medicare, Batu Kawan. FOTO Nur Izzati Mohamad

Kon Yeow berkata, beliau sekali lagi menegaskan Pulau Pinang mengekstrak air mentah dari bahagian negeri itu sejajar dengan hak dan undang-undang antarabangsa.

Berikutan itu, pihaknya tidak akan membayar tuntutan bayaran RM50 juta setahun yang diminta kerajaan Kedah.

Namun, beliau mengulangi sokongannya terhadap kerajaan Kedah untuk menuntut pampasan daripada Kerajaan Persekutuan kerana menggazetkan Hutan Simpan Kekal Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air, sekali gus tidak membenarkan sebarang aktiviti pembalakan di kawasan terbabit.

Kedah sebelum itu menuntut RM50 juta caj sumber air mentah setahun terhadap Perbadanan Bekalan Air Negeri Pulau Pinang (PBAPP).

Menurut Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, kerajaan Kedah sudah banyak kali menghantar surat untuk meminta bayaran berkenaan kepada PBAPP sejak 2010, namun tiada sebarang jawapan mahupun bayaran dilakukan.

Muhammad Sanusi turut meminta PBAPP supaya tidak mencampuri segala urusan berkaitan sumber air Kedah selagi tidak membayar tuntutan yang diminta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 4:07 PM