Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor. Foto Noorazura Abdul Rahman
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor. Foto Noorazura Abdul Rahman
Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Tindakan Pulau Pinang menolak mengadakan rundingan berkaitan caj air mentah kepada Kedah mencerminkan kepimpinan DAP negeri itu yang masih bersikap keras dan tidak memberi faedah kepada mana-mana pihak.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri Kedah sentiasa terbuka melakukan rundingan bersama Pulau Pinang demi kebaikan bersama dalam usaha memelihara kawasan tadahan air di Ulu Muda.

"Kalau Pulau Pinang berkeras dalam dunia bertamadun ini, ia tak akan memberi apa-apa kesan positif kerana kita kena sentiasa berunding dan berbincang.

"Kita kemukakan tuntutan bayaran caj air mentah bukan bermakna kita bersikap keras, tetapi kalau Pulau Pinang bersikap keras macam ini, rakyat boleh menilai bagaimana DAP dapat hidup bersama dengan orang lain di negara ini," katanya selepas Program Sumbangan Kembali Ke Sekolah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Dr P Ramasamy hari ini, yang menyatakan bahawa kerajaan Pulau Pinang tetap dengan pendirian tidak akan membayar walau satu sen kepada Kedah untuk mengambil air dari Sungai Muda.

Ramasamy dipetik berkata, tidak ada tanda Pulau Pinang akan memberi sumbangan dan tidak akan ada rundingan atau perbincangan dengan Kedah jika hak air Pulau Pinang tidak dihormati.

Muhammad Sanusi berkata, sehingga kini belum ada sebarang maklum balas bertulis diberi Pulau Pinang berhubung isu berkenaan, walaupun Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow ada memberi respon positif bagi mengadakan rundingan.

"Tuntutan caj air mentah yang dikemukakan kerajaan negeri Kedah adalah berasaskan dan mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WASIA).

"Dalam akta itu disebut mana-mana pihak yang sedut air daripada mana-mana sumber dia patut bayar, macam di Kedah kena bayar kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK)," katanya.

Selain itu, dalam nada berseloroh, Muhammad Sanusi berkata, beliau akan membelikan cermin kepada Ramasamy agar lebih teliti dalam membuat kenyataan selepas ini.

"Mereka masuk Ulu Muda bawa dron untuk tengok hutan di Ulu Muda, jadi siapa tak hormat siapa? Saya nak hadiah dia satu cermin.

"Jika dia memberi alasan Kedah ambil air dari sungai yang mengalir dari Thailand, suruh dia buktikan sungai mana sumber dari Thailand, sumber air di Pulau Pinang sudah terbukti dari Ulu Muda, dia pun tahu mengenainya, jadi Pulau Pinang perlu bayar caj air mentah dari Kedah," katanya.

Kerajaan Kedah sebelum ini menuntut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjelaskan bayaran sumber air mentah sebanyak RM50 juta setahun.

Tuntutan bayaran itu sudah dibuat kepada PBAPP sejak 2010, namun tiada sebarang tindakan dibuat oleh pihak berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 7:11 PM