KON Yeow. FOTO arkib NSTP
KON Yeow. FOTO arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang menunggu sebarang tindakan yang akan diambil Kerajaan Kedah berhubung tuntutan caj air mentah terhadap negeri ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan melihat apa jenis tindakan memandangkan isu tuntutan itu tidak dibuat secara rasmi dan hanya melalui media saja.

"Kita akan lihat apa tindakan Kedah sebab sekarang cuma cakap dalam surat khabar saja dan tiada apa-apa yang rasmi.

"Sebelum ini Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berharap kedua-dua negeri mengadakan perbincangan tetapi nampaknya Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor tidak setuju dengan pandangan menteri.

"Pulau Pinang menawarkan untuk memberi sumbangan kewangan atas pengorbanan Kedah untuk tidak meneroka kawasan tadahan air di Ulu Muda tetapi Menteri Besar Kedah juga tidak berminat sebaliknya tetap mahu menuntut caj air mentah yang sememangnya kita tidak bersetuju," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Kerajaan Kedah yang mahu membawa isu tuntutan bayaran caj air mentah terhadap Pulau Pinang ke mahkamah.

Sebelum ini, Kerajaan Kedah dilaporkan tidak menolak kemungkinan membawa isu tuntutan bayaran caj air mentah terhadap Pulau Pinang ke mahkamah sekiranya masalah itu tidak dapat diselesaikan.

Bahkan turut memberi bayangan akan meminta campur tangan kerajaan persekutuan jika Pulau Pinang tetap enggan menerima pelawaan kerajaan negeri Kedah untuk berunding.

Muhammad Sanusi menegaskan bahawa Kedah tetap mahukan bayaran caj air mentah dari Sungai Muda yang mengalir ke Pulau Pinang dan bukannya bayaran berbentuk sumbangan daripada kerajaan negeri terbabit.

Kedah berhasrat menetapkan caj 10 sen bagi setiap satu meter padu air mentah itu, namun bersedia berunding dengan kerajaan negeri Pulau Pinang mengenai harga berkenaan.

Baru-baru ini, Kedah menuntut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjelaskan bayaran sumber air mentah dari Sungai Muda sebanyak RM50 juta setahun sejak 2010 namun tiada sebarang tindakan dibuat oleh pihak berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2020 @ 12:42 PM