Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 17 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM21,500 bagi melepaskan warga asing yang melakukan kesalahan imigresen melalui pintu keluar antarabangsa, sejak Julai lalu.

Tertuduh, Mohd Al-Ridhuan Ahmad Zaini, 35, yang bertugas sebagai pegawai gred KP19 membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut semua pertuduhan berkenaan, dia didakwa menerima suapan wang berjumlah RM21,500 daripada Nur Amanina Maulad Adnan melalui akaun Maybank dan CIMB ke akaun Bank Muamalat syarikat Entiti Maju Enterprise milik isteri tertuduh.

Semua suapan itu sebagai upah membantu melepaskan warga asing yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) untuk keluar dari Malaysia melalui pintu keluar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 tanpa diambil tindakan undang-undang.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Jalan Tasik Utama, Medan Niaga Tasik Damai di sini, antara 30 Julai hingga 11 November lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Peguam Harcharanjit Singh yang mewakili tertuduh merayu supaya dibenarkan ikat jamin RM20,000 kerana tertuduh mempunyai tiga anak masih kecil dan isteri mempunyai masalah kesihatan selain dia memberikan kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan syarat tambahan tertuduh melapor diri minggu pertama setiap bulan di SPRM Putrajaya, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dihalang keluar negara serta dilarang mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Januari 2021.

MOHD Al-Ridhuan (kiri) dibawa keluar anggota polis selepas dituduh atas 17 pertuduhan menerima suapan bagi membantu melepaskan warga asing keluar dari Malaysia. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
MOHD Al-Ridhuan (kiri) dibawa keluar anggota polis selepas dituduh atas 17 pertuduhan menerima suapan bagi membantu melepaskan warga asing keluar dari Malaysia. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 12:43 PM