ANTARA PATI yang ditahan JIM di Chendering dan Kampung Kubang Ikan. FOTO Zaid Salim
ANTARA PATI yang ditahan JIM di Chendering dan Kampung Kubang Ikan. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Seramai 17 nelayan Vietnam yang bekerja secara haram di negeri ini ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Chendering, di sini, hari ini.

Pengarah JIM Terengganu, Ungku Joha Ungku Mohamad berkata, Ops Sapu/Pelantar itu dilakukan bermula jam 8 malam hingga 5 pagi tadi dengan kekuatan 19 anggota.

Katanya, selain nelayan Vietnam, pihaknya turut menahan 10 warga Kemboja termasuk tiga wanita dan bayi lelaki berusia setahun dalam pemeriksaan di lima rumah sewa di sekitar Chendering dan Kampung Kubang Ikan.

"Semua mereka berusia antara setahun hingga 61 tahun ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan tinggal melebihi masa dibenarkan," katanya.

Ungku Joha yang mengetuai operasi berkenaan berkata, bayi lelaki itu ditahan bersama ibu dan bapanya ketika serbuan di sebuah rumah sewa di Kampung Kubang Ikan.

"Pasangan suami isteri terbabit yang mendiami rumah sewa berkenaan lebih setahun lalu ditahan kerana kesalahan tinggal melebihi masa dibenarkan," katanya.

Ungku Joha berkata, semua pendatang asing tanpa izin (Pati) terbabit ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan dan Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa.

"Mereka dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang untuk siasatan lanjut," katanya.

Pix caption

Antara PATI yang ditahan dalam Ops Sapu/Pelantar Jabatan Imigesen di sekitar Chendering dan Kampung Kubang Ikan. STR/ZAID SALIM

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 8:26 PM