PEGAWAI Imigresen memeriksa Pati di jeti sebuah calet di Pulau Perhentian. FOTO Ihsan JIM Terengganu
PEGAWAI Imigresen memeriksa Pati di jeti sebuah calet di Pulau Perhentian. FOTO Ihsan JIM Terengganu
Zaid Salim


Besut: Seramai 19 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang bekerja secara haram di Pulau Perhentian, di sini, ditahan Jabatan Imigresen (JIM) Terengganu menerusi Ops Sapu dan Kutip, semalam.

Serbuan hasil risikan jabatan berkenaan dan maklumat awam dilakukan 21 pegawai jabatan berkenaan bermula 8 pagi.

Pengarah JIM Terengganu Ungku Joha Ungku Mohamad berkata, pihaknya terpaksa menggunakan helah dengan berlagak sebagai pelancong bagi mengelak kehadiran mereka di pulau itu dikesan Pati.

Beliau berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan di tiga lokasi iaitu dua jeti berhampiran Mimpi Perhentian dan Sharila Island Resort, Teluk Aur serta tapak pembinaan calet dan perumahan yang menjadi sasaran utama operasi.

"Seramai 101 warga asing diperiksa dan 19 daripada mereka membabitkan lapan warga Bangladesh, Pakistan (lima), Indonesia (empat) dan dua warga Myanmar berusia antara 22 hingga 61 tahun ditahan kerana melanggar Akta Imigresen 1959/63.

"Lapan daripada mereka disiasat kerana kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri, tiga orang mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana langgar syarat pas," katanya yang mengetuai operasi berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan di jeti Mimpi Perhentian, pihaknya menahan dua warga Myanmar, jeti berhampiran Sharila Island Resort, tiga warga Bangladesh dan 14 orang di tapak pembinaan calet dan perumahan.

Siasatan awal mendapati ada antara Pati terbabit dipercayai sudah lebih setahun mendiami dan bekerja di pulau berkenaan.

Dipercayai yakin dengan lokasi pulau yang jauh dari daratan menyebabkan ada pendatang asing yang masuk secara haram memilih pulau sebagai lokasi selamat untuk didiami.

Ungku Joha berkata, semua Pati terbabit dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Besut bagi menjalani ujian Covid-19 sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang, Hulu Terengganu, selepas ujian mendapati semua mereka negatif wabak berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 11:10 PM