Sungai Golok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Sungai Golok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Paras air Sungai Golok kembali mencatat bacaan melebihi tahap bahaya susulan taburan hujan yang tinggi selain menerima aliran air dari hulu sungai.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat jam 1 tengah hari, hari ini, sungai terbabit mencatat bacaan 9.16 meter, sekali gus melepasi paras bahaya iaitu sembilan meter.

Rekod juga menunjukkan sungai di Kampung Jenob di Tanah Merah, turut mencatat peningkatan paras air iaitu 21.76 meter melebihi tahap waspada.

Ketua Balai Bomba Rantau Panjang, Imran Ismail berkata, kawasan terbabit menerima hujan lebat semalam, namun hari ini cuaca sedikit cerah tetapi trend paras air Sungai Golok naik dari semasa ke semasa.

"Situasi ini berlaku kerana Sungai Golok menerima aliran air daripada hulu yang boleh menyebabkan bacaan bertambah. Justeru, penduduk berhampiran sungai perlu sentiasa berwaspada dan bersedia jika banjir melanda.

"Keadaan cuaca yang tidak menentu tidak dapat memberi ramalan sebenar mengenai paras air, jadi saya nasihatkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat melalui laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) selain merujuk Jabatan Meteorologi Malaysia.

"Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sentiasa bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh untuk memberi khidmat kepada orang ramai," katanya.

Imran berkata, bagi Sungai Golok, di sini, paras waspada ialah tujuh meter, manakala amaran pula lapan meter diikuti paras bahaya sebanyak sembilan meter.

Katanya, pekan Rantau Panjang digenangi air apabila mencapai bacaan 10 sehingga 11 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 2:58 PM