GAMBAR hiasan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
GAMBAR hiasan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Penduduk dinasihatkan bersiap sedia menghadapi banjir kerana paras air Sungai Golok melebihi tahap bahaya susulan aliran air daripada hulu sungai yang turut mencatat bacaan yang agak tinggi.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat 12 tengah hari ini, paras air Sungai Golok mencatat bacaan 9.11 meter sekali gus melepasi tahap bahaya iaitu sembilan meter.

Ketua Balai Bomba Rantau Panjang, Imran Ismail berkata, bacaan paras air sungai itu boleh meningkat lagi jika taburan hujan di Sungai Jenob, Tanah Merah masih tinggi kerana Sungai Golok juga bergantung dengan keadaan cuaca di sana.

"Bagaimanapun, trend paras air boleh berubah bila-bila masa sahaja kerana ia bergantung kepada cuaca, namun tidak salah jika penduduk terutama berdekatan sungai mula mengemas dan menyimpan dokumen penting ke tempat tinggi kerana khuatir paras air terus meningkat.

"Untuk makluman, rekod sebelum ini menunjukkan paras waspada bagi Sungai Golok ialah tujuh meter, manakala amaran pula lapan meter diikuti paras bahaya sebanyak sembilan meter.

"Biasanya, pekan Rantau Panjang mula dinaiki air bila mencatat bacaan lebih 10 meter tetapi beberapa kawasan rendah sudah berhadapan dengan fenomena bah sejak beberapa hari lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Imran berkata, sememangnya paras air ini kadang-kadang tidak boleh dijangka kerana ia boleh turun dan naik bila-bila masa sahaja dalam kadar masa yang sangat cepat, justeri kita perlu sentiasa peka.

"Masyarakat boleh melayari laman web Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) untuk mengetahui paras air dari semasa ke semasa dan mengelak berkumpul ke sungai contohnya, ditambah kita kini sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

"Cuaca di Rantau Panjang mungkin nampak biasa dengan hujan yang tidak begitu lebat tetapi paras Sungai Golok boleh bertambah susulan aliran air dari kawasan hulu sungai.

"Saya berharap tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku ketika kita sedang berhadapan dengan musim tengkujuh ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 3:33 PM