RUMAH penduduk di Kampung Terusan di sini mula dinaiki air banjir separas 0.5 sehingga satu meter. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
RUMAH penduduk di Kampung Terusan di sini mula dinaiki air banjir separas 0.5 sehingga satu meter. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Penduduk di tebing Sungai Golok, di sini, disarankan untuk bersedia susulan paras air sungai melebihi tahap amaran akibat hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Mengikut laman web publicinfobanjir.water.gov.my, setakat jam 9.45 pagi ini, paras air sungai mencatat bacaan 8.63 meter sekali gus melebihi tahap amaran iaitu lapan meter.

Ketua Balai Bomba Rantau Panjang, Imran Ismail berkata, peningkatan paras air itu disebabkan oleh penambahan taburan hujan selain aliran air dari hulu sungai.

"Sebelum ini, rekod paras air Sungai Golok menunjukkan tahap waspada pada bacaan tujuh meter, manakala amaran pula lapan meter diikuti paras bahaya sebanyak sembilan meter.

"Kami juga dimaklumkan beberapa kawasan rendah di Rantau Panjang sudah dinaiki air seperti di Kampung Terusan, Kampung Jejawi dan Kampung Luar.

"Justeru penduduk perlu berwaspada dan mengambil langkah awal kerana ia menandakan banjir gelombang pertama bakal tiba jika hujan berterusan termasuk di kawasan hulu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Imran berkata, Pekan Rantau Panjang juga masih beroperasi seperti biasa kerana air hanya akan melimpahi kawasan berkenaan jika paras Sungai Golok melebihi 10 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 11:11 AM