Paras air Sungai Golok terus menunjukkan trend menurun dengan mencatatkan bacaan paras amaran sejak semalam. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Paras air Sungai Golok terus menunjukkan trend menurun dengan mencatatkan bacaan paras amaran sejak semalam. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Paras air Sungai Golok terus menunjukkan trend menurun dengan mencatatkan bacaan paras amaran sejak semalam.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat 10 pagi hari ini, paras air Sungai Golok mencatat bacaan 8.48 meter melepasi bacaan tahap amaran iaitu lapan meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang, Imran Ismail berkata, ia menunjukkan trend menurun sejak semalam, selepas kawasan terbabit menerima taburan hujan tidak banyak selain cuaca panas pada sebelah pagi hari ini.

"Tambahan pula, paras sungai di hulu Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah, menunjukkan tahap normal dengan bacaan 19.76 meter sahaja dengan rekod paras waspada di situ ialah 21.5 meter.

"Hasil tinjauan, beberapa jalan di kawasan rendah yang dinaiki air sejak beberapa hari lalu mulai surut dan boleh dilalui seperti di Kampung Gual To'Deh, Kampung Pengkalan Rakit dan Kampung Padang Licin, di sini.

"Paras air Sungai Golok bergantung kepada taburan hujan dan aliran hulu sungai, jika kedua-duanya menunjukkan peningkatan ia memberi kesan kepada keadaan sungai di sini, tetapi Alhamdulillah, cuaca hari ini kelihatan cerah dan panas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengikut rekod sebelum ini, paras waspada bagi Sungai Golok ialah tujuh meter, manakala amaran pula lapan meter diikuti paras bahaya sebanyak sembilan meter manakala pekan Rantau Panjang akan digenangi air apabila paras air sungai itu mencatat bacaan lebih 10 meter.

Bagaimanapun, Imran menasihati penduduk terutama yang berhampiran sungai untuk sentiasa berwaspada kerana Monsun Timur Laut masih belum tamat dan cuaca boleh berubah pada bila-bila masa sahaja.

"Walaupun Sungai Golok menunjukkan trend menurun, tetapi masih di paras amaran dan beberapa kampung di kawasan rendah digenangi air.

"Saya berharap masyarakat mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak berlaku sebarang perkara tidak diingini.

"Pihak bomba sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan jika banjir kembali melanda termasuk berkhidmat dalam normal baharu akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 3:29 PM