FOTO Arkib NSTP.
FOTO Arkib NSTP.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu akan berpindah ke lokasi baharu di Taman Tarom Permai, Mukim Tasek Setiu, Setiu bermula 10 Januari tahun depan.

Sebelum ini, kedua-dua mahkamah itu terletak di Pusat Bandar Permaisuri, Setiu yang mempunyai ruang pejabat terhad selain kurang kemudahan khas bagi golongan kurang upaya (OKU) serta orang awam yang berurusan.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) dalam kenyataan dikeluarkan berkata, perpindahan itu diharap dapat memberi keselesaan kepada semua pihak yang berurusan di mahkamah kelak, selain kompleks yang lebih lengkap dengan kemudahan buat pegawai dan kakitangan mahkamah.

Dalam pada itu, PKPMP membuat penjadualan semula bagi Majistret yang bertugas di Mahkamah Majistret (Litar) Lenggong di Perak.

"Bermula 10 Januari depan, Majistret Mahkamah Majistret Kuala Kangsar akan mengendalikan kes-kes di Mahkamah Majistret (Litar) Lenggong pada setiap hari Jumaat, manakala Majistret Mahkamah Majistret Gerik akan mengendalikan kes-kes di Mahkamah Majistret (Litar) Pengkalan Hulu pada setiap hari Rabu dan Khamis.

"Sebelum ini, kes di Mahkamah Majistret (Litar) Lenggong dikendalikan Majistret Mahkamah Majistret Gerik, Perak," katanya kenyataan itu.

Bagaimanapun, bagi kes-kes yang sudah memulakan perbicaraan, ia akan diteruskan Majistret asal yang mendengar kes terbabit.

PKPMP akan sentiasa memantau dan menilai keberkesanan fungsi dan keupayaan sesebuah mahkamah dalam memastikan perkhidmatan diberikan secara professional, efisien dan cepat.

Selain itu, inisiatif yang diambil diharap dapat memudahkan proses dan akses kepada keadilan kepada semua pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 10:58 AM