ANTARA kambing yang dirampas. Zatul Iffah Zolkiply.
ANTARA kambing yang dirampas. Zatul Iffah Zolkiply.
Zatul Iffah Zolkiply


Setiu: Dua lelaki didenda RM10,000 setiap seorang di Mahkamah Majistret Setiu hari ini selepas mengaku bersalah menyeludup 111 kambing Boer bernilai RM111,000.

Majistret Raja Norshuziana Shakila Raja Mamat membuat keputusan itu selepas kedua-dua tertuduh iaitu Muhammad Nor Syuhadan Mohamad Nor, 25, dan Mohd Syamsul Fadlihisyam Ab Azid, 37, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Selain itu, dua tertuduh turut berdepan hukuman penjara sembilan bulan sekiranya mereka gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan 111 ekor kambing Boer itu dilucutkan hak dan wang hasil jualan ternakan menjadi hasil kerajaan.

Mengikut pertuduhan, dua tertuduh didakwa memindahkan 111 ekor kambing dengan menggunakan lori jenis Isuzu tanpa memiliki Peraturan Kebenaran Pindah dan Perakuan Kesihatan Veterinar daripada Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu atau pegawai yang diberi kuasa olehnya.

Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Permaisuri, Setiu, jam 4.46 petang pada 26 Ogos 2020.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Para (i)(b) Perintah Subseksyen 36 (1) Akta Binatang 1953 dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 36 (7) Akta Binatang 2013 (Akta A1452) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Mohd Shahihan Mohd Tahar.

Berdasarkan fakta kes, kesemua ternakan itu diseludup dari Golok, Thailand menggunakan perahu sebelum dipindahkan ke dalam lori.

Dua tertuduh ditahan di Setiu ketika dalam perjalanan menghantar ternakan itu ke Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 12:20 PM