TUN Tengku Maimun Tuan Mat (tiga dari kanan) bersama barisan para hakim di Istana Kehakiman Januari lalu. FOTO FAIL BERNAMA
TUN Tengku Maimun Tuan Mat (tiga dari kanan) bersama barisan para hakim di Istana Kehakiman Januari lalu. FOTO FAIL BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) membuat laporan polis berhubung tuduhan wujudnya konspirasi, pakatan sulit atau pakatan haram, antara pemimpin politik dan Ketua Hakim Negara untuk mempercepatkan kes dan jatuh hukum Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

PKPMP dalam kenyataan hari ini menyatakan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, tidak pernah berkomunikasi dengan atau dihubungi oleh mana-mana pemimpin politik berhubung dengan kes-kes mahkamah yang membabitkan bekas perdana menteri (Najib) dan presiden UMNO (Ahmad Zahid).

"Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh pejabat ini, menafikan tuduhan-tuduhan wujudnya konspirasi, pakatan sulit atau pakatan haram, antara pemimpin politik dan Ketua Hakim Negara," menurut kenyataan itu.

Pejabat itu merujuk kepada satu hantaran di laman Facebook Shahir Samad-Tok Uban bertarikh 20 April lalu, yang di antaranya menuduh Ketua Hakim Negara bersetuju membantu mempercepatkan kes dan jatuh hukum Najib dan Ahmad Zahid.

Kenyataan itu menyebut kes-kes yang belum selesai di mahkamah, perlu berjalan dan diteruskan mengikut undang-undang tanpa sebarang campur tangan oleh Ketua Hakim Negara atau orang lain.

"Pejabat ini menegaskan bahawa pihak yang bertanggungjawab membuat dan menyebarkan tuduhan tersebut, adalah bertujuan untuk memburukkan imej dan menyebabkan orang awam hilang kepercayaan terhadap badan kehakiman.

Selain itu, tuduhan ini bertujuan untuk menjatuhkan pentadbiran keadilan dari segi perbicaraan kes yang belum selesai, terhadap Najib dan Ahmad Zahid.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapatinya bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Kes itu kini di peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan setelah Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib.

Manakala, Ahmad Zahid telah diarahkan oleh Mahkamah Tinggi pada 24 Januari lalu untuk membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Ahmad Zahid memilih untuk membela diri melalui keterangan bersumpah daripada kandang saksi dan telah mengemukakan keterangannya pada 13 April lalu.

Kes Ahmad Zahid bersambung 23 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 11:18 PM