Siti Rohana Idris


Tumpat: Limpahan air daripada Sungai Golok bakal berlaku bila-bila masa yang akan menyebabkan beberapa kampung di sekitar Pengkalan Kubor di sini, dilanda banjir.

Sebagai persediaan awal, sepasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tumpat, memacak tanda amaran di tujuh lokasi yang dikenal pasti terdapat halangan ketika misi menyelamat mangsa banjir menggunakan bot.

Ketua Operasi Penyelamat Di Air APM Tumpat Sarjan Nazizul Che Mahmud berkata, tanda amaran itu dihasilkan daripada batang buluh yang dipotong sepanjang lima meter dan dililit plastik kuning untuk mudah dikesan sekiranya mana-mana bot melalui kawasan terbabit dan berhati-hati terhadap halangan yang ada di sekitar.

"Bagi memudahkan lagi dilihat sekiranya kerja menyelamat mangsa banjir di buat pada waktu malam, buluh itu turut ditampal pelekat lut sinar warna hijau.

"Semua buluh ini dipacak di tujuh lokasi sekitar empat kampung yang dikenal pasti antara yang terawal dinaiki air iaitu Kampung Bendang Pak Yong, Kubang Sawa, Jejulok dan Nibong.

"Ia dipacak di lokasi yang terdapat halangan seperti pembentung, pintu air dan jambatan besi yang ditenggelami air jika berlaku banjir sekali gus mendatangkan risiko semasa misi menyelamat penduduk kampung," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

ANGGOTA APM Tumpat memacak sebatang pokok buluh yang dililit plastik kuning serta ditampal pelekat lut sinar di lokasi yang terdapat halangan. FOTO Siti Rohana Idris
ANGGOTA APM Tumpat memacak sebatang pokok buluh yang dililit plastik kuning serta ditampal pelekat lut sinar di lokasi yang terdapat halangan. FOTO Siti Rohana Idris

Bagi kerja menyediakan tanda amaran itu, seramai 14 anggota APM Tumpat terbabit dalam gotong-royong yang bermula sejak 9 pagi dan berakhir pada 1 tengah hari.

Nazizul berkata, selain tiga kampung itu, 30 anggota penyelamat APM Tumpat akan menumpukan operasi menyelamat mangsa banjir di beberapa kampung sekitar termasuk Kampung Naga Ibu, Derdap dan Kajang Sebidang yang membabitkan hampir 2,000 penduduk.

"Semua penduduk yang terjejas akan dibawa menaiki bot penyelamat ke Masjid Kubang Sawa terlebih dahulu sebelum dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang disediakan dengan lori APM.

"Untuk tugas menyelamat, enam bot penyelamat APM disediakan dan kami sudah bersedia untuk dikerahkan bila-bila masa sahaja," katanya.

Seorang penduduk Kampung Derdap, Yasir Abdul Rahman, 50, berkata setakat kelmarin air dari Sungai Golok yang hanya beberapa meter di belakang rumahnya mengalami perubahan tidak menentu.

Dia berkata, malam tadi air sungai hampir melimpah ke tebing dan kembali surut menjelang tengah hari ini namun dijangka pasang semula petang ini.

"Penyediaan tanda amaran itu bukan sahaja khas untuk pihak penyelamat tapi juga bagi penduduk kampung yang menyelamatkan diri menggunakan bot sendiri terutama pada waktu malam yang menyukarkan pergerakan.

"Apabila ternampak batang buluh yang dipacak dengan tampalan plastik lut sinar, sekurang-kurangnya pemandu bot akan berwaspada dengan halangan yang ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 3:51 PM