Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Polis menumpaskan satu lagi sindiket memproses dan mengedar dadah bernilai RM177,210 menerusi beberapa serbuan dijalankan di Pulau Pinang dan Perak.

Ia susulan penahanan 10 lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 49 tahun dipercayai ahli sindiket di beberapa lokasi berasingan di sekitar negeri itu yang dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Pulau Pinang dan JSJN Perak.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, serbuan pertama dan kedua membabitkan penahanan dua suspek lelaki berusia 33 dan 40 tahun di hadapan kondominium berhampiran Batu Uban pada 5 petang, 22 November lalu.

Beliau berkata, kedua-dua suspek itu membawa kepada pemeriksaan di rumah dan menjumpai dadah jenis heroin, heroin base dan serbuk kafein serta bahan dan peralatan memproses heroin.

"Pendedahan seorang daripadanya membawa kepada pemeriksaan sebuah kenderaan di kawasan Gelugor dan menemukan dadah jenis heroin dalam kenderaan itu.

"Susulan itu, polis menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 40 tahun di tepi jalan kawasan Bukit Gantang, Perak manakala dua lagi berusia 20 dan 40 tahun di Air Itam, di sini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Sahabudin berkata, serbuan seterusnya dilakukan di sebuah rumah di kawasan Air Itam, di sini, dan membawa kepada penemuan sejumlah pil ekstasi dan penahanan suspek lelaki berusia 49 tahun, sebelum seorang lagi suspek berusia 40 tahun turut ditahan di hadapan restoran di kawasan sama.

Beliau berkata, seorang lagi suspek lelaki berusia 38 tahun dipercayai dalang sindiket itu ditahan di tepi jalan kawasan Simpang Ampat dan seterusnya menemukan sejumlah dadah jenis heroin di dalam kenderaannya.

SAHABUDIN (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan pelbagai dadah yang dirampas susulan penahanan 10 lelaki. FOTO DANIAL SAAD
SAHABUDIN (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan pelbagai dadah yang dirampas susulan penahanan 10 lelaki. FOTO DANIAL SAAD

Katanya, serbuan terakhir dilakukan terhadap sebuah rumah di Ipoh, Perak dan seorang suspek lelaki berusia 41 tahun ditahan selain rampasan sejumlah syabu dan pil eramin 5.

"Turut disita ialah wang tunai, barangan kemas dan tujuh kenderaan yang dianggarkan bernilai RM409,330.

"Dadah dirampas membabitkan 10.17 kilogram (kg) disyaki heroin bernilai RM113,00; 375gram (g) dadah disyaki heroin base bernilai RM34,820 dan 620 biji disyaki pil ekstasi bernilai RM11,160.

"Selain itu, 143g dadah jenis syabu bernilai RM14,300; 20 pil eramin 5 bernilai RM300 dan 10.37kg bahan berwarna putih disyaki kafein bernilai RM3,630 yang membawa kepada nilai keseluruhan rampasan RM586,540," katanya.

Sahabudin berkata, sindiket itu dikesan menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak September lalu dan semua dadah dirampas itu boleh digunakan 44,255 penagih dadah.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati dua daripadanya positif dadah jenis opiate dan lapan lagi negatif dadah.

Katanya, semua suspek direman selama empat hingga tujuh hari bermula 23 hingga 29 November.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 1:05 PM