RANTAI gergaji yang diubahsuai menjadi senjata. FOTO Juwan Riduan
RANTAI gergaji yang diubahsuai menjadi senjata. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas menyerang anggota polis menggunakan rantai gergaji di Kampung Pondo, Pulau Gaya, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, sepasukan polis yang sedang menjalankan rondaan Ops Poket terserempak dengan lelaki yang sedang menghidu gam.

Bagaimanapun sebaik memperkenalkan diri sebagai polis, lelaki berusia 21 tahun terbabit terus memaki hamun dan mengugut membunuh pasukan polis berkenaan di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek kemudiannya bertindak melibas rantai besi beberapa kali ke arah pasukan polis sebelum mereka menahan suspek daripada terus menyerang.

"Sebaik ditahan, pemeriksaan di badan suspek tidak menemui sebarang kesalahan lain dan lelaki itu tidak mempunyai dokumen diri yang sah.

"Turut dirampas rantai gergaji yang diubahsuai menjadi senjata," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, dalam kejadian berkenaan, seorang anggota polis cedera di kaki dan tangan kanan manakala suspek tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, suspek dan barang kes dibawa balik balai polis untuk tindakan selanjutnya.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam menjalankan kewajipan yang sah di sisi undang-undang.

"Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 6:26 PM