PPM menyelamatkan tiga nelayan selepas bot dinaiki mereka rosak dalam kejadian di perairan Karambunai, Kota Kinabalu. FOTO JUWAN RIDUAN
PPM menyelamatkan tiga nelayan selepas bot dinaiki mereka rosak dalam kejadian di perairan Karambunai, Kota Kinabalu. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Tiga nelayan diselamatkan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas bot dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin di perairan Karambunai, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan selepas Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menerima laporan awam berhubung kejadian itu.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu Asisten Superintendan Enturan Lageh berkata, sebuah bot ronda PPM dikerah menjalankan operasi pencarian.

Katanya, bot nelayan berkenaan ditemui di perairan laut Karambunai kira-kira 12.6 batu nautika dari pangkalan PPM Kota Kinabalu.

"Ketiga-tiga nelayan berusia 30 hingga 40-an itu berasal dari Kampung Lok Urai, Pulau Gaya dan ditemui dalam keadaan selamat.

"Semua mangsa memaklumkan bahawa bot mereka mengalami kerosakan enjin sejak 1.30 pagi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Enturan berkata, pasukan bot ronda PPM menunda bot nelayan berkenaan kembali ke Kampung Lok Urai, Pulau Gaya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Enturan berkata, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki berhubung kes curi di Kampung Pondo, Pulau Gaya, Isnin lalu.

Katanya, suspek seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan bersama pelbagai jenis barang curi antaranya alat pam, rantai besi, peralatan komponen enjin, pemotong besi, gergaji besi dan alat penimbang.

"Semua barang dipercayai hasil curi yang berjaya dirampas dianggarkan bernilai RM6,800.

"Suspek diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 2:33 PM