DUA cedera dalam kejadian tanah runtuh di rumah panjang Branda ak Baling, Nanga Keluton, Jalan Entabai-Pakan, Sarikei petang tadi. FOTO Ihsan JBPM
DUA cedera dalam kejadian tanah runtuh di rumah panjang Branda ak Baling, Nanga Keluton, Jalan Entabai-Pakan, Sarikei petang tadi. FOTO Ihsan JBPM
Norsyazwani Nasri


Sarikei: Seorang remaja lelaki patah kaki selepas tertimbus hingga paras paha manakala seorang wanita cedera ringan di bahagian kaki dalam kejadian tanah runtuh di rumah panjang Branda ak Baling, Nanga Keluton, Jalan Entabai-Pakan, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian itu mereka yang cedera ialah Pagih ak Belula,13, dan Telenjing ak Gandi,59.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pada jam 5.42 petang dan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor ke lokasi kejadian.

"Empat daripada 36 pintu rumah itu mengalami runtuhan di belakang dapur dan bilik. Remaja lelaki yang tertimbus berjaya dikeluarkan oleh penduduk kampung sebelum pihak Bomba tiba.

"Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Nanga Entaih bagi mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, anggota Bomba memasang sawar-sawar (pengadang) di kawasan runtuhan berkenaan supaya tidak didekati oleh penduduk.

"Pihak Bomba menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada kerana khuatir runtuhan itu akan berulang.

"Kita mengarahkan kesemua empat penghuni pintu yang terjejas berpindah ke rumah saudara buat sementara waktu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 1:03 AM