DATUK Hasbullah Osman. FOTO arkib NSTP
DATUK Hasbullah Osman. FOTO arkib NSTP
Mohd Rashidi Yusuf.


Gerik: Jenazah Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman akan dikebumikan esok di Tanah Perkuburan Kampung Padang dekat sini.

Adik perempuannya, Fadhilah Osman, 61, berkata, sekiranya jenazah sampai awal, pengebumian akan dilakukan awal.

Katanya, adik dan anak Allahyarham sedang dalam perjalanan ke Hospital Raub untuk menguruskan jenazah abangnya.

"Adik dan anaknya sedang dalam perjalanan ke Raub untuk mengurus supaya jenazah dapat dibawa balik malam ini juga, mungkin awal pagi sampai.

"Jenazah mungkin akan dibedah siasat dan kalau boleh biarlah urusan pengebumian dapat diawalkan," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Terdahulu, Hasbullah dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung, hari ini.

Hasbullah yang juga Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) meninggal dunia di Hospital Raub, Pahang pada 7 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 11:16 PM