Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Gerik: Jenazah Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang, di sini, pada 11.41 pagi ini.

Kira-kira 300 individu turut mengiringi jenazah Hasbullah di bawa ke tanah perkuburan selepas selesai solat jenazah yang diimamkan oleh anak sulungnya, Mohd Haris Helmi, 34, di Masjid Jamek Gerik

Terdahulu bacaan tahlil dan doa turut diadakan di masjid itu yang dipimpin Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria yang juga Pesuruhjaya PAS Perak.

Suasana pilu menyelubungi perkarangan rumah Allahyarham hingga di tanah perkuburan, dengan lapan khemah kanopi dipasang di perkarangan rumah itu bagi memberi ruang kepada ratusan hadirin termasuk ahli keluarga untuk memberikan penghormatan terakhir.

Bagaimanapun sepanjang upacara persemadian, prosedur operasi standard (SOP) mencegah wabak Covid-19 dipatuhi dengan dikawal oleh polis serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Isteri kedua Allahyarham, Zaini Abu Bakar, 29, turut hadir dan kelihatan tidak bermaya serta menolak untuk ditemubual.

Selain Razman, turut hadir adalah Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Setiausaha Politik Menteri Besar Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim.

Isteri kedua Allahyarham Datuk Hasbullah Osman, Zaini Abu Bakar (tengah) menyiram air mawar di pusara. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Isteri kedua Allahyarham Datuk Hasbullah Osman, Zaini Abu Bakar (tengah) menyiram air mawar di pusara. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 2:10 PM