Masjid Darul Ihsan di Kampung Semarang, Pusa, rosak teruk selepas dibadai ombak ketika air pasang besar, petang Sabtu lalu. FOTO IHSAN PEMBACA
Masjid Darul Ihsan di Kampung Semarang, Pusa, rosak teruk selepas dibadai ombak ketika air pasang besar, petang Sabtu lalu. FOTO IHSAN PEMBACA
Mohd Roji Kawi


Pusa: Fenomena air pasang besar yang melanda Sabtu lalu memusnahkan masjid di tepi pantai di Kampung Semarang, di sini.

Masjid Darul Ihsan rosak teruk dipukul ombak ketika air pasang besar melanda pada 4.30 petang.

Difahamkan, penduduk sempat menyelamatkan al-Quran serta ayat suci lain dan peralatan elektrik di dalam masjid berusia 47 tahun itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor berkata, masjid berkenaan terdedah kepada hakisan teruk sejak beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, kedudukan asal masjid itu agak jauh dari pantai, namun dalam tempoh beberapa tahun lalu hakisan berlaku dengan cepat dan kini menghampiri masjid berkenaan.

"Benteng yang dibina sebelum ini gagal menahan hakisan itu dan permohonan kami untuk mendapatkan peruntukan bagi membina benteng lebih kukuh diluluskan Kerajaan Persekutuan (ketika Barisan Nasional), namun ia dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

"Akibat kejadian Sabtu lalu, Masjid Darul Ihsan kini tidak dapat digunakan lagi dan penduduk terpaksa menggunakan surau berdekatan di Sungai Durian sementara menunggu masjid baharu dibina," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Justeru, beliau merayu agar kerajaan dapat menyalurkan peruntukan berjumlah RM9 juta bagi melaksanakan dua projek utama di kampung berkenaan.

Projek berkenaan ialah pembinaan benteng penahan ombak yang lebih kukuh dengan kos RM6.5 juta menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Peruntukan berjumlah RM 2.5 juta daripada kerajaan negeri pula diperlukan bagi membina masjid baharu.

"Tapak masjid itu sudah disediakan dan kami hanya menunggu peruntukan untuk membinanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 10:39 AM