TENGKORAK, tulang manusia serta kain kapan timbul yang dikumpulkan akibat hakisan sungai di tanah perkuburan di masjid lama Kampung Semarang,Pusa. FOTO Norsyazwani Nasri
TENGKORAK, tulang manusia serta kain kapan timbul yang dikumpulkan akibat hakisan sungai di tanah perkuburan di masjid lama Kampung Semarang,Pusa. FOTO Norsyazwani Nasri
Norsyazwani Nasri


MENYEDIHKAN! Itu gambaran keadaan tanah perkuburan di Masjid Lama Kampung Semarang, di Pusa yang mengalami kerosakan teruk akibat hakisan tanah.

Hasil tinjauan mendapati, tanah perkuburan berusia lebih 30 tahun itu hampir lenyap akibat hakisan yang berlaku di kawasan berkenaan.

Pengerusi Ahli Jawatankuasa Pembangunan Kampung Masjid Lama Semarang, Awang Abu Bakar Awang Talip berkata, isu berkenaan sudah berlarutan terlalu lama dan penduduk berharap tindakan segera dapat diambil.

“Kejadian dikenal pasti berpunca daripada ombak laut, malah keadaan lebih buruk apabila tiba musim tengkujuh. Jarak hakisan tanah kini mencecah 20 meter ke kawasan tanah perkuburan.

“Jika ia tidak ditangani segera, kita bimbang tanah perkuburan ini akan lenyap dihanyutkan ombak,” katanya.

Katanya, awal bulan lalu penduduk gempar dengan cebisan tulang, tengkorak dan kain kapan jenazah sejurus berlakunya hakisan yang menjejaskan beberapa kubur lama.

“Ini cukup menyedihkan waris dan keluarga jenazah yang disemadikan di sini. Justeru, penduduk kampung mengambil alternatif memindahkan tengkorak dan cebisan tulang ke kawasan perkuburan berhampiran.

“Ketika ini, terdapat lebih 1,000 kubur di sini, dengan kebanyakannya adalah penduduk dari Kampung Semarang dan Kampung Spinang,” katanya.

Katanya, penduduk mencadangkan agar kerajaan negeri membina segera benteng penahan ombak bagi mengawal hakisan yang berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 2:21 PM