GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hassan Omar

Alor Gajah: Imam yang berkhidmat sebagai jurunikah atau penolong pendaftar perkahwinan di Melaka bakal menerima upah nikah RM100 manakala dua saksi nikah masing-masing menerima RM25 mulai tahun hadapan.

Kadar berkenaan ditetapkan pada mesyuarat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) pada 27 Julai lalu dan menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddinAl-Mustafa Billah Shah.

Dalam kenyataan dikeluarkan semalam, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat berkata, saksi akad nikah adalah di kalangan Pegawai Syarak di sesuatu kariah atau individu yang layak.

"Sehubungan itu, imam, jurunikah, penolong pendaftar atau yang mengendalikan majlis pernikahan tidak dibenarkan mengambil bayaran selain daripada kadar yang ditetapkan oleh MAIM.

"Garis panduan ini hendaklah digunakan di semua lokasi pernikahan sama ada di masjid, surau, kediaman, hotel, dewan atau tempat lain yang dibenarkan," katanya.

Beliau berkata, tiada sebarang bayaran boleh dikenakan kepada anak kariah yang hadir untuk mendapatkan pengesahan Borang Permohonan Kebenaran Berkahwin atau dokumen lampiran lain yang berkenaan.

Katanya, jika pernikahan diadakan di masjid atau surau, pihak pengurusan masjid boleh menasihatkan pihak yang bernikah untuk bersedekah kepada masjid dengan sumbangan tidak lebih RM50.

Bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan anak kariah, pihak pengurusan masjid diwajibkan mengeluarkan resit atas sumbangan itu, katanya.

Beliau berkata, jika pengantin perempuan ingin bernikah di luar kariah tempat dia bermastautin berdasarkan faktor yang munasabah dengan kebenaran Ketua Pendaftar Nikah, Cerai, Rujuk / Pendaftar Kanan Nikah, Cerai, Rujuk, seseorang imam boleh mengenakan bayaran tidak melebihi RM50 ke atas pengantin terbabit.

Kegagalan untuk memenuhi garis panduan itu disifatkan sebagai kesalahan yang boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 65 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 6:17 PM