Rafidah Mat Ruzki dan Mohd Iskandar Ibrahim

Putrajaya: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu melihat dan menganalisis laporan ujian klinikal fasa ketiga bagi setiap vaksin sedang dibangunkan ketika ini sebelum membuat sebarang pembelian vaksin Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketika ini 11 vaksin untuk Covid-19 dalam fasa ketiga ujian klinikal dan kementerian itu belum mendapat laporan mengenainya.

"Kami berharap untuk mendapatkan laporan itu dan akan menganalisis untuk melihat aspek keselamatan serta keberkesanan vaksin itu," katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman syarikat farmaseutikal gergasi Amerika Syarikat (AS), Pfizer, sebelum ini bahawa vaksin Covid-19 yang sedang dibangunkannya berjaya mencatatkan keberkesanan hingga 90 peratus.

Bagaimanapun, vaksin itu perlu disimpan pada suhu -80 darjah Selcius.

Dr Noor Hisham berkata, KKM sebelum ini pernah membuat keputusan untuk tidak mendapatkan vaksin bagi denggi biarpun ia sudah boleh dipasarkan berikutan timbul isu keselamatan dalam laporan ujian klinikal fasa ketiga vaksin terbabit.

Pada masa sama, beliau berkata, KKM perlu menyediakan semua infrastuktur serta perkara berkaitan logistik sebelum perolehan vaksin Covid-19 dapat dilaksanakan.

Katanya, ia termasuk isu bekas boleh menyimpan vaksin itu pada suhu -80 darjah Selcius dan perkara logistik berkaitan.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 8:20 PM