Razali  membuat pemeriksaan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Tol Sungai Besi. FOTO MAHZIR MAT ISA
Razali membuat pemeriksaan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Tol Sungai Besi. FOTO MAHZIR MAT ISA
Nurul Hidayah Bahaudin

Serdang: Sebanyak 17,584 permohonan rentas negeri diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dalam tempoh tiga minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 16,971 permohonan diluluskan, manakala 613 lagi ditolak atas alasan tidak munasabah.

"Ada alasan tidak munasabah diterima daripada pemohon seperti mahu lawat ahli keluarga di luar kawasan.

"Kami menggunakan budi bicara dan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dan terpaksa menolak permohonan yang tidak menepati arahan," katanya ketika ditemui selepas melakukan pemantauan sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19 di Plaza Tol Sungai Besi, di sini, hari ini.

Razali berkata, seramai 132 anggota dan enam pegawai bertugas di Plaza Tol Sungai Besi menerusi tiga syif setiap hari dengan dibantu 31 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta empat Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Katanya, secara keseluruhannya, sebanyak 154,000 kenderaan diperiksa membabitkan 184,000 individu yang mengenal pasti beberapa kesalahan ingkar SOP PKPB selain kes jenayah.

"Setakat ini, sebanyak 680 kompaun dikeluarkan di daerah ini bagi kesalahan ingkar SOP PKPB dengan 53 daripadanya dikenal pasti di Plaza Tol Sungai Besi membabitkan kesalahan tiada dokumen rentas sempadan serta jumlah penumpang lebih daripada dua orang dalam satu kenderaan.

"Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 2,338 kenderaan diarah berpatah balik kerana dokumen dikemukakan tidak lengkap dan memberikan alasan tidak munasabah.

"Menerusi SJR dilakukan, kami turut berjaya menahan dua lelaki tempatan bersama motosikal yang dilaporkan hilang dan mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 8:24 PM