Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop (tiga dari kiri) memeriksa pengguna jalan raya dalam sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Senawang. FOTO Mohd Amin Jalil
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop (tiga dari kiri) memeriksa pengguna jalan raya dalam sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Senawang. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Sengaja undang bala apabila seorang lelaki warga Indonesia dikenakan kompaun RM1,000 selepas cuba menipu polis dan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Lelaki yang menetap di Kuala Lumpur itu cuba memberikan pelbagai alasan ketika ditahan pihak berkuasa melalui sekatan jalan raya (SJR) berhampiran Plaza Tol Senawang di sini, kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, lelaki berusia 30-an itu mendakwa berasal dari Nilai Negeri Sembilan namun pemeriksaan terhadap dokumen miliknya mendapati dia menetap di Kuala Lumpur.

"Dia juga mendakwa mempunyai rumah di Senawang namun semua itu gagal dibuktikan. Ternyata dia cuba menipu pihak berkuasa," katanya ketika melakukan tinjauan SJR di Tol Senawang, di sini, tadi.

Hadir sama, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop.

Sementara itu, Mohamad berkata, terdapat 17 SJR di seluruh negeri ini selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan kerajaan Isnin lalu.

"Setakat ini satu kompaun dikeluarkan kepada seorang warga asing selepas didapati ingkar PKPB di mana dia tidak dapat memberi alasan yang munasabah untuk masuk ke Senawang (Negeri Sembilan).

"Kami akan membuat pemantauan lebih tegas dan berharap orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 6:31 PM