GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Seorang wanita warga emas kerugian lebih RM6 juta apabila diperdaya skim pelaburan emas tidak wujud yang ditawarkan di media sosial sejak Oktober lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, peniaga berusia 61 tahun itu hanya menyedari ditipu pada 22 Januari lalu apabila gagal untuk mengeluarkan sebahagian dari wang pelaburannya berjumlah RM2.2 juta.

Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa mula mengenali skim terbabit selepas melayari blog pelaburan di Facebook (FB) pada 14 Oktober lalu ketika di rumahnya di Taman Rasi Jaya, di sini.

Katanya, mangsa kemudian berkomunikasi menerusi WhatsApp dengan seorang individu selepas menekan pautan melalui blog pelaburan terbabit.

Menurutnya, nombor telefon mangsa dimasukkan ke beberapa kumpulan WhatsApp berbeza bagi tujuan pelaburan emas berkenaan.

"Mangsa memasukkan pelaburan berjumlah RM6.22 juta melalui 32 transaksi ke 11 akaun bank yang berbeza. Pada 22 Januari lalu mangsa gagal mengeluarkan wang pelaburan berjumlah RM2.2 juta dan suspek tidak membalas komunikasi mangsa.

"Platform pelaburan itu juga tidak dapat diakses, justeru mangsa baru tersedar dia sudah ditipu suspek. Pelaburan itu juga hanya menggunakan link/url (pautan) laman sesawang yang diberi suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 11:46 AM