Gambar hiasan
Gambar hiasan
Ahmad Hasbi


Nilai: Teruja pulangan lumayan selepas melabur kali pertama matawang digital (kripto) akhirnya menyebabkan seorang lelaki kerugian lebih RM220,000 akibat ditipu scammer.

Mangsa yang juga warga emas berusia 60-an diperdaya melalui aplikasi Telegram apabila menerima `umpan' pulangan pelaburan sebanyak RM15,000 selepas melabur RM8,000.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, mangsa mulanya dipujuk seorang lelaki yang dikenali sebagai 'Cikgu Zheng' untuk membuat pelaburan bermula Oktober lalu.

Beliau berkata, mangsa dimasukkan ke dalam kumpulan Telegram dan dipengaruhi untuk menyertai pelaburan matawang kripto oleh individu memperkenalkan diri sebagai cikgu Zhang.

"Mangsa kemudiannya membuat transaksi pertama berjumlah RM8,000 dan berjaya mendapat keuntungan pelaburan berjumlah RM15,000.

"Seterusnya mangsa dipujuk cikgu Zhang untuk menambah nilai pelaburan sehingga mencecah RM228,000 melalui 13 transaksi kewangan ke sembilan akaun berbeza.

"Mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal membuat pengeluaran bagi pelaburan yang dibuat atas alasan akaun pengadu terbabit dengan penggubahan wang haram," katanya tadi.

Abdul Malik berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJK) Nilai membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan selepas mangsa membuat laporan polis kelmarin.

"Pihak polis menasihatkan orang awam supaya membuat semakan dengan pihak berkuasa dan Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum menyertai apa-apa skim pelaburan atau skim cepat kaya untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 3:11 PM