Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Polis negeri ini merampas 794 objek permainan menyerupai pistol, raifal dan 'machine gun' pada dua serbuan berasingan, jam 3 petang semalam.

Serbuan pertama membabitkan sebuah premis di Lorong Industri Inanam Juta sebelum polis menyerbu sebuah lagi premis di Bangunan ITCC, Penampang di sini, kerana menjual senjata api permainan tanpa permit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Jauteh Dikun berkata, lapan individu termasuk tiga wanita berusia 22 hingga 55 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

"Semua senjata api permainan dirampas dianggarkan bernilai kira-kira RM16,000 termasuk cukai.

"Semua barangan terbabit dipercayai diimport dari China sebagai permainan kanak-kanak sebelum dijual kepada orang ramai.

"Ia dijual secara atas talian bermula bermula daripada belasan ringgit sehingga RM150 setiap satu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini.

Hadir sama Ketua Cawangan Khas IPK Sabah Senior Asisten Komisioner (SAC) Mohd Salleh Yahya, Pegawai Turus D9 Superintendan Zairolnizal Ishak dan Pegawai Turus D7 Alhusin Halil.

Menurut Jauteh, kejayaan itu hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah dan Cawangan Khas IPK Sabah.

Jauteh berkata, senjata api permainan itu menyerupai raifal AK47, Glock dan beberapa jenis senjata lain dan berfungsi dengan menggunakan bateri caj semula.

"Senjata api permainan itu dibawa masuk menggunakan lesen alat permainan dan dicampur aduk dengan alat permainan lain untuk mengaburi pihak berkuasa.

"Semua suspek kini direman bagai membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960," katanya.

Sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

JAUTEH Dikun (tiga kanan) menunjukkan senjata api permainan dirampas dalam dua serbuan berasingan di Kota Kinabalu dan Penampang. FOTO Juwan Riduan
JAUTEH Dikun (tiga kanan) menunjukkan senjata api permainan dirampas dalam dua serbuan berasingan di Kota Kinabalu dan Penampang. FOTO Juwan Riduan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 4:02 PM