Juwan Riduan

PENGUSAHA kolam udang, isteri dan tiga pekerja mereka ditahan selepas disyaki terbabit sindiket perjudian dalam talian 'Calling Centre'.

Mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan di kondominium dan apartmen di Beverly Hill, Penampang, 6 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, semua suspek berusia antara 24 hingga 37 tahun dan mendapati kondominium itu dijadikan pusat operasi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Hasil risikan dan pemantauan selama hampir dua minggu, kita berjaya mengesan dan menyerbu pusat operasi sindiket berkenaan dan mereka yang ditahan termasuk suami isteri.

"Ketika serbuan itu, ada ahli sindiket sedang mengatur perjudian dalam talian bernilai RM3,815. Kita merampas beberapa set komputer, komputer riba, 13 telefon bimbit dan perkakasan yang digunakan untuk operasi itu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang, hari ini.

Mohd Haris berkata, sindiket itu dipercayai sudah beroperasi lima bulan dengan purata keuntungan RM750,000, yakni RM5,000 sehari dan bulanan mencecah RM150,000.

"Sindiket diketuai lelaki yang mengusahakan kolam udang, manakala empat yang lain sebagai pekerja yang dibayar gaji RM1,200 sebulan," katanya.

Beliau memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

MOHD Haris (tengah) menunjukkan set komputer yang dirampas selepas menyerbu dua lokasi dijadikan sebagai pusat judi dalam talian ‘Calling Centre’ di Penampang. FOTO Juwan Riduan
MOHD Haris (tengah) menunjukkan set komputer yang dirampas selepas menyerbu dua lokasi dijadikan sebagai pusat judi dalam talian ‘Calling Centre’ di Penampang. FOTO Juwan Riduan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 7:27 PM