Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Gangguan anjing liar di sini dan perumahan di Lukut mengundang ancaman kepada penduduk malah ada yang tercedera disebabkan itu.

Antaranya, ibu tunggal, Noraslida Ramli, 37, yang mengalami kemalangan ketika menunggang motosikal untuk menghantar anak kembarnya ke Sekolah Kebangsaan Kampung Gelam, semalam.

Dia yang dari Flat Ansana Harmoni melalui Taman Indah Jaya untuk ke sekolah itu namun, mereka dikejar lima anjing yang menyebabkan motosikalnya hilang kawalan dan melanggar kereta diletakkan di tepi jalan.

"Disebabkan terkejut, saya gagal kawal motosikal dan langgar kereta itu. Saya cedera di lutut dan pinggang, manakala anak saya berusia 10 tahun bengkak kaki dihempap motosikal.

"Nasib baik ketika kejadian pemilik kereta berada tidak jauh dari situ dan dia membantu menghantar kami pulang ke rumah. Malangnya motosikal rosak teruk dan tak boleh dihidupkan," katanya yang bekerja di sebuah hotel di sini.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Mohd Zamri Mohd Esa mengambil maklum aduan penduduk dan sudah melantik kontraktor bagi menjalankan operasi pembersihan anjing liar.

"Kontraktor bertanggungjawab menangkap anjing itu setiap hari bagi mengurangkan pembiakannya di kawasan perumahan sekitar sini dan membahayakan penduduk," katanya.

Menurutnya, sejak dua hari lalu sebanyak 44 anjing liar ditangkap dan berharap penduduk bersabar kerana usaha sedang dilaksana.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 1:37 PM