NIK Ezanee Mohd Faisal. FOTO arkib NSTP
NIK Ezanee Mohd Faisal. FOTO arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Polis mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 kepada pemilik gerai makan di Taman Medan, di sini, serta dua pekerjanya selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pemeriksaan dilakukan jam 11.15 malam mendapati pemilik gerai makan itu berusia 32 tahun bersama empat pekerja serta dua pelanggan berusia antara 20 hingga 50 tahun di dalam premis berkenaan.

"Kami mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada pemilik serta dua pekerja gerai berkenaan yang juga warga tempatan selepas didapati melanggar SOP PKPB dengan beroperasi lebih masa dan tidak memakai pelitup muka.

"Kami turut menahan dua pekerja warga asing di gerai makan itu yang didapati menggunakan dokumen perjalanan tamat tempoh dan gagal mengemukakan dokumen selain melanggar SOP dengan tidak memakai pelitup muka serta gerai beroperasi lebih masa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mahu orang ramai di daerah ini sentiasa mematuhi SOP PKPB.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang gagal mematuhi arahan ditetapkan serta individu yang enggan memberi kerjasama.

"Pada masa sama, individu yang dikenakan perintah kuarantin dinasihatkan supaya patuh arahan dikeluarkan pihak berkuasa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 9:14 PM