ANTARA individu yang diperiksa pihak polis ketika Operasi Pematuhan SOP PKPP di sekitar Bandar Baru Selayang, Gombak, semalam.
ANTARA individu yang diperiksa pihak polis ketika Operasi Pematuhan SOP PKPP di sekitar Bandar Baru Selayang, Gombak, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin

Gombak: Tiada aplikasi MySejahtera dan liputan Internet perlahan antara alasan diberikan 53 individu yang dikompaun kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, hasil pemeriksaan dilakukan pihaknya terhadap pengunjung di beberapa kedai makan di lokasi berkenaan mendapati ada pengunjung tidak membuat pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera serta buku disediakan premis berkenaan.

"Alasan mereka tidak memuat turun aplikasi MySejahtera serta liputan Internet perlahan selain lupa menulis maklumat pada buku disediakan.

"Alasan itu tidak dapat diterima memandangkan sudah lama kerajaan memperkenalkan aplikasi berkenaan selain menjadi normal baharu susulan Covid-19," katanya yang mengetuai Operasi Pematuhan SOP berkenaan.

Katanya, kompaun yang dikeluarkan itu turut membabitkan pengunjung serta pemilik premis kerana didapati tidak mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa.

Arifai berkata, selain kesalahan pengunjung tidak membuat pendaftaran serta tidak memakai pelitup muka, pihaknya turut mengesan pemilik premis yang tidak mematuhi SOP ditetapkan.

"Seramai 10 pemilik dikompaun kerana gagal patuhi SOP seperti tidak menyediakan laluan berasingan bagi pengunjung serta tidak menyelenggara buku pendaftaran," katanya.

Beliau berkata, semua individu yang dikenakan kompaun itu diwajibkan menyelesaikannya dalam tempoh 14 hari di pejabat kesihatan.

"Operasi seperti ini akan dijalankan secara konsisten bagi memastikan penduduk setempat mematuhi SOP ditetapkan kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2020 @ 4:06 PM