GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Tidak selesa dan sudah biasa menyediakan makanan tanpa memakai pelitup muka, antara alasan diberikan pemilik gerai makan apabila dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19.

Mereka dikesan dalam operasi pemantauan dan pemeriksaan SOP Perintah Kawalan Pergerakan di kawasan Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz Ipoh (Padang Polo) di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Lee Swee Sake berkata, pihaknya mengeluarkan tiga kompaun berkaitan pemakaian pelitup muka selain merokok.

"Rata-rata peniaga patuh tetapi ada juga yang masih gagal mematuhi SOP," katanya pada sidang media selepas operasi itu.

Menurutnya, 30 anggota terbabit operasi yang turut disertai Pejabat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Pejabat Kesihatan Daerah Kinta.

Lee berkata, operasi berkenaan untuk memantau tahap pematuhan penduduk dan peniaga dalam mengurangkan penularan Covid-19 di daerah ini.

"Kita juga gunakan pendekatan menegur dan mendidik orang ramai supaya mereka patuh SOP khususnya, menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka," katanya.

Beliau memberitahu pihaknya akan terus mengadakan operasi bersepadu seperti itu dari semasa ke semasa.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 9:51 PM