Zurina  memberi susu khas kepada anaknya,  Muhammad Amar Firdaus  di Bukit Goh.
Zurina memberi susu khas kepada anaknya, Muhammad Amar Firdaus di Bukit Goh.
HM Digital

Kuantan: Dunia seorang kanak-kanak berusia empat tahun di sini, terbatas apabila hanya mampu terbaring di atas katil selepas menghidap tiga penyakit kronik sejak lahir.

Muhammad Amar Firdaus Ayob yang juga anak bongsu daripada empat beradik itu menghidap penyakit jantung berlubang, saluran jantung sempit dan masalah paru-paru.

Ibu kanak-kanak malang itu, Zurina Othman, 41, berkata, anak bongsunya sehingga kini belum boleh berjalan, malah tidak mampu merangkak dan bertutur.

“Hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya apabila mendapat tahu bayi kecil ini terpaksa dilahirkan pada usia kandungan 35 minggu secara pembedahan disebabkan masalah air ketuban tidak cukup sebelum dia disahkan mempunyai masalah kesihatan.

“Saya terima suratan takdir dengan hati terbuka. Melihat keadaan Muhammad Amar Firdaus yang memerlukan perhatian, saya sentiasa berdoa saya dipanjangkan usia dan diberikan kesihatan baik untuk menjaganya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di FELDA Bukit Goh, di sini, kelmarin.

Zurina yang juga suri rumah sepenuh masa berkata, Muhammad Amar Firdaus kini turut mengalami masalah lelangit berlubang, masalah pendengaran dan matanya semakin rabun serta injap jantung yang bocor.

“Masalah ini dikesan selepas anak saya selesai pembedahan jantung dua tahun lalu di Institut Jantung Negara (IJN),” katanya.

Berikutan masalah itu, katanya, mereka perlu mengumpul sejumlah wang bagi membolehkan pembedahan lelangit berlubang, pemasangan alat pendengaran dan penukaran tiub di perut anaknya itu dapat dilakukan dengan segera.

“Sehingga kini, kami sekeluarga masih belum dimaklumkan kos pembedahan lelangit kerana perlu menunggu temujanji bersama doktor pakar pada Isnin depan.

“Namun, saya dimaklumkan kos untuk menukar tiub bagi memasukkan susu sekitar RM600 manakala pemasangan alat telinga pula dianggarkan berjumlah RM3,000 hingga RM4,000,” katanya yang memperoleh bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 10:18 AM