KAKITANGAN Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) keluar dari Penjara Reman Pulau Pinang dipercayai melakukan ujian saringan Covid-19 terhadap petugas penjara dan banduan. FOTO Danial Saad
KAKITANGAN Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) keluar dari Penjara Reman Pulau Pinang dipercayai melakukan ujian saringan Covid-19 terhadap petugas penjara dan banduan. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad

Georgetown: Semua kes perbicaraan dan reman membabitkan tahanan Penjara Reman Pulau Pinang akan ditangguhkan sehingga makluman lanjut susulan seorang banduan yang meninggal dunia kelmarin, disahkan positif Covid-19.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, pada kenyataan selepas beliau menghadiri sesi taklimat khas Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) tadi.

Menurut Kon Yeow, beliau dimaklumkan bahawa Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang sudah menulis surat kepada pihak mahkamah bagi menangguhkan kes-kes perbicaraan dan reman sehingga makluman lanjut.

"Kerajaan negeri dimaklumkan bahawa keadaan di Penjara Reman Pulau Pinang masih terkawal dan pada peringkat permulaan. Malah, tindakan pantas juga diambil oleh semua pihak dalam mengawal perebakan Covid-19.

"Selain itu, semua banduan akan menjalani saringan dengan keutamaan diberikan kepada kontak utama. Saringan turut akan dijalankan terhadap kakitangan penjara," katanya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, tindakan pantas yang diambil semua pihak berkaitan di Penjara Reman Pulau Pinang membolehkan negeri itu mengawal penularan Covid-19 dengan keadaan setakat ini dilaporkan masih terkawal.

"Kerajaan negeri bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan jabatan-jabatan keselamatan berkaitan, termasuk Jabatan Penjara negeri, mengambil langkah segera dalam mengawal perebakan Covid-19 di lokasi berkaitan.

"Semua pihak juga berada dalam keadaan bersiap-sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan dalam tempoh 24 jam pada setiap hari," katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan seorang lelaki berusia 85 tahun yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) positif Covid-19.

Difahamkan, warga emas yang menghidap penyakit darah tinggi dan kesihatan mental itu dilaporkan tidak sedarkan diri di penjara sebelum dibawa ke hospital.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 6:01 PM