KENDERAAN Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membawa petugas perubatan memasuki Kompleks Penjara Seberang Perai, Jawi di sini, untuk melakukan ujian saringan Covid-19. FOTO Danial Saad.
KENDERAAN Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membawa petugas perubatan memasuki Kompleks Penjara Seberang Perai, Jawi di sini, untuk melakukan ujian saringan Covid-19. FOTO Danial Saad.
Nur Izzati Mohamad

Georgetown: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak perlu dilaksanakan di Penjara Seberang Perai, Jawi, setakat ini memandangkan situasi Covid-19 yang masih terkawal.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memaklumkan keadaan semasa di penjara itu tidak memerlukan pelaksanaan PKPD.

"Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang turut membuat pemantauan rapi, malah prosedur operasi standard (SOP) ketat dipraktikkan Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang bagi memastikan tiada jangkitan tidak merebak ke luar komuniti.

"Bagi kes baru membabitkan daerah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan, saringan giat dijalankan JKNPP dan pihak berkaitan.

"Semua pihak termasuk di peringkat daerah berada pada tahap siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan berasaskan penilaian risiko dan keperluan lanjut dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Chow berkata, JKNPP memaklumkan ujian saringan Covid-19 akan diteruskan terhadap banduan di Penjara Seberang Perai.

"Bagi Penjara Reman Pulau Pinang, saringan kedua sudah dijalankan terhadap mereka yang keputusannya negatif sebelum ini," katanya.

Sehingga 12 tengah hari tadi, Kluster Penjara Reman Pulau Pinang mencatatkan pertambahan 160 kes manakala Kluster Penjara Jawi merekodkan pertambahan 26 kes.

Keseluruhannya, terdapat 431 kes positif Covid-19 dilaporkan di dua kluster penjara terbabit setakat ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 8:48 PM