Foto hiasan
Foto hiasan
Rosyahaida Abdullah

Kuala Lumpur: Penduduk Kampung Kongsi 14, Bukit Selambau di Kedah bakal menikmati capaian Internet mudah alih yang lebih baik menerusi pemasangan menara pemancar sementara di kawasan terbabit tidak lama lagi.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, penduduk kampung itu sebelum ini dilaporkan berdepan masalah capaian Internet yang terlalu lemah sehingga menimbulkan pelbagai kesukaran khususnya untuk berhubung, belajar dan bekerja.

Menurutnya, MCMC bersama empat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama iaitu Celcom, DiGi, Maxis dan U Mobile menghasilkan pelan untuk menyampaikan liputan yang diperlukan di kampung terbabit.

"Pihak penyedia perkhidmatan akan mendirikan menara pemancar sementara setinggi 30 meter untuk memberikan liputan lebih baik di kawasan terbabit.

"Dalam hal ini, keempat-empat rangkaian telekomunikasi akan dapat diakses oleh penduduk melalui teknologi perkongsian pemancar dikenali sebagai Multi-Operator Core Network (MOCN).

"Ini adalah kali pertama penggunaan teknologi MOCN digunakan di Semenanjung yang menggabungkan keempat-empat syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi," katanya.

Mengulas lanjut, MCMC menjelaskan, penyelesaian itu dicapai hasil beberapa siri lawatan dan perbincangan antara MCMC, penyedia perkhidmatan dan penduduk selain turut dibantu Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia Kedah Wan Romani Wan Salim.

"Kerja penyediaan tapak, pemasangan dan pengaktifan menara sementara ini dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh enam minggu selepas memperoleh kebenaran daripada Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP).

"Penyedia perkhidmatan kini dalam proses menghantar permohonan kelulusan kepada MPSP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 7:04 PM