Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kini dalam keadaan stabil selepas menjalani rawatan keracunan makanan dan intervensi di Institut Jantung Negara (IJN).

Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat selepas selesai menjalani rawatan susulan.

Menurut kenyataan itu, rawatan keracunan makanan bermula apabila Al-Sultan Abdullah dimasukkan ke IJN pada malam 21 September lalu.

"Rawatan intervensi pula dilakukan susulan pengimejan Resonans Magnetik (MRI) pada 22 September lalu yang menunjukkan kecederaan yang dialami oleh Al-Sultan Abdullah ketika bersukan.

"Rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali Al-Sultan Abdullah berlangsung dengan jayanya pada 24 September lalu," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, susulan daripada rawatan intervensi ini, baginda dinasihatkan untuk menjalani rawatan susulan dengan pengawasan rapi pasukan Pakar Perubatan IJN.

"Al-Sultan Abdullah amat tersentuh hati dengan keprihatinan rakyat terhadap keafiatan Seri Paduka Baginda dan menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat yang mendoakan kesejahteraan Seri Paduka Baginda," katanya.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kebimbangan atas jumlah kes positif Covid-19 yang naik secara mendadak ini.

"Sehingga semalam terdapat 150 kes baharu yang dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 10,919 kes.

"Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kegusaran Seri Paduka Baginda berikutan peningkatan kepada sebanyak 36 kes positif Covid-19 di Semenanjung Malaysia selepas kembali dari Sabah, yang dikesan daripada 20 hingga 27 September lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 6:34 PM