AL-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO Bernama
AL-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO Bernama
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekadar mengemukakan jumlah Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau kepada Istana Negara, tanpa mengemukakan sebarang senarai nama mereka untuk mengukuhkan dakwaan itu.

Susulan tindakan itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, menasihati Anwar untuk akur dan menghormati proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, sesi pertemuan berlangsung hampir 25 minit itu menyaksikan Anwar tidak mengemukakan senarai nama Ahli Dewan Rakyat bagi mengukuhkan dakwaan itu.

Menurutnya, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima Anwar untuk menghadap baginda di Istana Negara pada jam 11 pagi hari ini.

"Sesi menghadap ini sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 22 September lalu tetapi ditangguhkan berikutan kegeringan Al-Sultan Abdullah di mana Seri Paduka Baginda telah menjalani rawatan di Institut Jantung Negara bermula pada 21 September hingga 3 Oktober lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menyentuh perkembangan semasa penularan wabak Covid-19 di Malaysia khususnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuat kuasa esok, Ahmad Fadil berkata, baginda menzahirkan kegusaran dan menasihati seluruh rakyat supaya bertenang serta berdisiplin menjaga kesihatan diri masing-masing dengan mematuhi ketetapan tatacara kebiasaan baharu dan prosedur operasi standard (SOP).

"Walaupun perkembangan terkini agak membimbangkan berikutan kenaikan yang berterusan tiga digit kes positif harian Covid-19 serta kewujudan beberapa kluster baharu sejak 1 Oktober lalu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan dan mengajak seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik bersatu padu dan bersatu hati memerangi penularan Covid- 19 demi keselamatan bersama serta kesejahteraan negara.

"Dimaklumkan juga, lanjutan kepada pelaksanaan PKPB dan atas titah perkenan Al-Sultan Abdullah, Istana Negara melaksanakan sekatan pergerakan separa (semi-lockdown) berkuat kuasa sehingga tarikh yang akan diumumkan kelak," katanya.

Katanya, Seri Paduka Baginda amat prihatin dan menitikberatkan penjagaan dan tahap kesihatan diri pegawai serta kakitangan Istana Negara dan pelaksanaan ini adalah untuk menjaminkan keselamatan dan kesejahteraan warga Istana Negara.

"Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga Malaysia terus dilindungi dan dirahmati dan ancaman penularan Covid-19 dapat dibendung dengan berkesan dan diakhiri dengan segera," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 3:13 PM