Mohd Roji Kawi


Bau: Tentera Darat Malaysia (TDM) menggerakkan satu pertiga daripada kekuatannya bagi meningkatkan lagi keupayaan pertahanan di Sabah dan Sarawak.

Panglimanya Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, kekuatan itu meliputi sumber manusia, penstrukturan serta aset.

Beliau berkata, ia antara yang terkandung dalam Pelan Strategik TDM 2021-2025 bagi menyeimbangkan kekuatan pasukan itu di Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

"Dalam pelan strategik itu, kita menetapkan kekuatan keseluruhan TDM dua pertiga di Semenanjung manakala satu pertiga lagi di Sabah dan Sarawak.

"Antara diberi perhatian ialah sumber manusia, penstrukturan dan aset bagi meningkatkan keupayaan pengoperasian TDM di sini," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Aset Op Benteng Untuk Pemerintahan Medan Timur TDM yang turut dihadiri Panglima Medan Timur TDM Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad di Serikin, di sini, hari ini.

Zamrose berkata, aset baharu seperti pikap, kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi, motosikal lasak dan dron menepati keperluan operasi di kawasan muka bumi sukar sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan Barat.

"Bentuk muka bumi kawasan operasi di sempadan di Sarawak agak sukar dan jika kita menggunakan sepenuhnya anggota rondaan berjalan memang boleh, tidak ada masalah tetapi pergerakan mereka agak sukar.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain mencuba kenderaan ATV pada Majlis Penyerahan Aset Op Benteng kepada Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat Malaysia di Serikin, Bau, hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain mencuba kenderaan ATV pada Majlis Penyerahan Aset Op Benteng kepada Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat Malaysia di Serikin, Bau, hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI

"Aset baharu ini akan memudahkan lagi pergerakan mereka supaya mampu melaksanakan operasi dengan lebih berkesan.

"Ketika ini pun banyak kejayaan dicapai dalam Op Benteng dan dengan adanya aset baharu, saya percaya lebih banyak kejayaan dapat kita capai," katanya tanpa mendedahkan jumlah aset yang diagihkan itu.

Menurutnya, TDM juga akan menambah empat lagi pos kawalan sempadan di Sarawak sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pos di negeri ini 19 pos.

"Kerajaan Sarawak meluluskan tapak dan kerja pembinaan sudah bermula yang saya yakin akan siap Ogos ini," katanya.

Sementara itu, mengenai perolehan aset baharu khususnya kenderaan berperisai mobiliti tinggi keluaran syarikat peralatan ketenteraan tempatan, Mildef International Technologies Sdn Bhd, Zamrose berkata, TDM mula menjalankan uji nilai terhadap kenderaan itu, semalam.

"Keputusan untuk membeli aset termasuk kenderaan itu bukan dibuat oleh TDM, tetapi kami membuat uji nilai kenderaan terbabit.

"Uji nilai itu merangkumi keupayaan mobiliti, sistem persenjataan, kemampuan menahan tembakan anti kereta kebal serta sistem komunikasi.

"Paling utama kita mahu melihat kemampuan kenderaan itu menahan tembakan kerana ia adalah kenderaan untuk membawa anggota, jadi kita perlu teliti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 2:00 PM