Khamis Jusoh, 64, dari Kampung Banggol Katong melihat anak-anaknya membuat kerja di kandang kerbaunya. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Khamis Jusoh, 64, dari Kampung Banggol Katong melihat anak-anaknya membuat kerja di kandang kerbaunya. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: "Jika tiada bantuan anak, pasti saya tidak mampu menguruskan semua kerbau mati kerana penyakit hawar berdarah (HS) itu," kata Khamis Jusoh.

Khamis, 64, berkata, dia bersyukur kerana tujuh daripada lapan anaknya turut sama membantunya menguruskan 57 kerbau mati akibat diserang penyakit HS itu, termasuk proses menanam semua bangkai.

Katanya, hanya Muhammad Soleh, 28, tidak balik kerana menyambung pelajaran di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

"Anak lain iaitu Muhamad Kamil, 31, Muhamad Alias, 30, Muhammad Syawal, 26, Muhammad Azhar, 24, Nor Ain Solehah, 21, Nor Ain Amirah, 20, dan Muhammad Syukur, 15, semua membantu.

"Saya membabitkan mereka dalam penternakan kerbau sejak kecil, jadi semuanya tiada masalah menguruskan kandang ini termasuk dua anak perempuan.

"Masing-masing mempunyai pengalaman dan mesra dengan ternakan, oleh itu apabila kerbau mati mengejut kerana penyakit HS itu mereka turut sama bersedih.

"Jika ikutkan, Muhamad Soleh juga ingin pulang ke kampung untuk bantu saya, tetapi saya tidak benarkan kerana kos tambang tinggi," katanya ketika ditemui di kandang kerbaunya di Kampung Kubang Bujuk, di sini, hari ini.

Khamis berkata, dia berharap anaknya dapat menyambung legasi penternakan kerbau itu apabila dia tiada nanti dan kehadiran mereka menguatkan semangat sepanjang menghadapi wabak HS itu.

"Saya sudah di akhir usia, tiada niat lagi nak kumpul harta. Semua ternakan itu untuk masa depan anak.

"Jika mereka tidak mempunyai pekerjaan nanti boleh meneruskan bidang penternakan yang sedia ada itu," katanya.

Sementara itu, Nor Ain Solehah berkata, dia tidak kisah menjalankan kerja menguruskan ternakan di kandang itu kerana tugasan itu dilakukannya sejak kecil.

"Kejadian penyakit HS itu sangat menyedihkan kami sekeluarga maklumlah ia pertama kali berlaku sepanjang ayah menternak kerbau.

"Saya kini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Produksi dan Kesihatan Haiwan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sejajar dengan minat dalam bidang penternakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 4:44 PM